Tazkirah

Malu Kerana Allah
"Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :"Malu itu sebahagian dari iman"

Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Malulah kamu sekelian kepada Allah dengan sebenar-benarnya. "
"Wahai Rasulullah bukankah kita sudah malu dengan Allah?"
Sabda Nabi s.a.w : "Bukan itu yang di namakan malu dengan Allah, akan tetapi yang di namakan malu dengan Allah yang sesungguhnya adalah orang yang sudah boleh menjaga kepalanya dari maksiat dan apa yang ada di kepalanya, dan menjaga perutnya jangan sampai masuk barang yang haram, dan menjaga kemaluannya jangan sampai berzina, dan menjaga tangan dan kakinya dari perbuatan maksiat, dan ingat dengan mati, dan ingat bahawa dirinya akan rosak. Dan barangsiapa yang menghendaki kebahagiaan akhirat hendaklah meninggalkan kesenangan dunia dan memilih kebahagiaan akhirat daripada dunia, barangsiapa yang sudah dapat mengerjakan semua yang telah tersebut di atas barulah orang tersebut di namakan orang yang malu kepada Allah, orang yang malu kepada Allah adalah orang yang malu bila melakukan maksiat sehingga tidak jadi mengerjakan maksiat dan itulah yang di namakan malu yang sesungguhnya."

Sesaorang yang mempunyai budi pekerti yang baik adalah mereka yang rasa malu bila mengerjakan maksiat. Sentiasa berbuat baik, benar perkataannya, tidak berkata dengan perkataan yang keji (lucah), sedikit bicaranya kecuali ada menfaatnya, banyak amal soleh, sedikit kesalahannya, tidak berlebih-lebihan dalam semua perkara, suka menyambung persaudaraan, bersopan santun, banyak bersabar, sentiasa bersyukur kepada Allah, kasih sayang terhadap orang lain, menjaga diri dari yang tercela, tidak mudah marah, tidak mengadu domba (menghasut) orang lain, tidak mengumpat, tidak dengki dan iri hati, tidak bakhil, kalau dia mencintai sesuatu hanya kerana Allah dan membenci sesuatu juga kerana Allah dan kalau dia marah juga marah kerana Allah.

Ramai wanita Islam hari ini mendedahkan aurat tanpa rasa segan silu. Menampakkan perhiasan diri tanpa ada perasaan malu kepada Allah s.w.t. Bersolek berlebih-lebihan, berwangi-wangian, pakaian yang menjolok mata hingga menampakkan bentuk tubuh badannya dan seksi, kadangkala merobah bentuk asal wajahnya dengan di lakukan pembedahan pelastik, menggunakan botox dan lain-lain, semua ini tidak menampakkan ciri-ciri wanita soleha.

Di sudut yang lain pula, kita lihat gejala sosial telah melanda dengan hebatnya para remaja lelaki dan perempuan berdua-duaan dan berpasang-pasangan tanpa segan dan malu memenuhi taman-taman bunga, pusat membelli belah, tepi-tepi pantai dan pusat-pusat hiburan. Dalam keadaan seperti ini siapakah yang perlu di salahkan? Untuk mengubati penyakit-penyakit ini setiap kita (ibu bapa, guru-guru,alim ulama', para da'i, pertubuhan dan persatuan Islam, jemaah Islam dan jabatan Agama Islam) berperanan dan bersatu tenaga untuk merawat dan jalankan proses pemulihannya. Kita tidak boleh menggunakan cara dan kaedah lain, melainkan kembali kepada kaedah rawatan yang di jalankan oleh Rasulullah s.a.w iaitu membaiki aqidah dan keimanan manusia terlebih dahulu sebelum membaiki kelemahan-kelemahan yang lain.

Apabila proses tarbiyyah dan dakwah berjalan dan berfungsi sepenuhnya di dalam masyarakat, akan lahirlah individu-individu muslim mukmin yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t dan perasaan malu kepada Allah s.w.t berfungsi dalam kehidupan kita.
0 Responses